Gambar Rajah 2.0
Dalam
hadis-hadis yang sahih, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
apabila menyembelih haiwan sama ada untuk korban (udhiyah) atau hadyu
(ketika haji), beliau menyembelih dengan tangannya sendiri. Dari sini
menunjukkan sebahagian dari sunnah-sunnah penyembelihan haiwan adalah
berusaha untuk menyembelih dengan tangan sendiri.
Tetapi
sayangnya pada hari ini ramai dari kalangan umat Islam yang tidak mampu
untuk melaksanakan penyembelihan secara individu atau dengan tangannya
sendiri. Antaranya disebabkan tidak memiliki ilmu, takut, tidak biasa,
dan tidak yakin (was-was). Maka, tulisan ini penulis usahakan dari hasil
bacaan dan catatan peribadi penulis sebagai perkongsian buat para
pembaca semua yang memiliki semangat dan minat untuk memahami persoalan
ini dari kaca-mata yang syar’i dan sunnah.
Semoga
Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikannya bermanfaat buat diri penulis
dan para pembaca di luar sana sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Kepada Allah jualah penulis mengharapkan kebaikan, rahmat, dan petunjuk
yang berterusan.
[Pertama] Ihsan Terhadap Haiwan Sembelihan
Di antara cara dan sikap ihsan yang disunnahkan ketika melaksanakan penyembelihan haiwan adalah:
1. Tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang akan disembelih.
2. Tidak menyembelih haiwan di hadapan haiwan-haiwan lain yang akan disembelih.
3. Tidak membawa haiwan ke tempat sembelihan dengan cara yang kasar.
4.
Memilih cara paling mudah dan yang paling kurang menimbulkan rasa
sakit. (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 13/106. Al-Mubarakfuri, Tuhfah
al-Ahwadzi, 4/553)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ
اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ
فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ
وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
“Sesungguhnya
Allah telah mewajibkan supaya sentiasa bersikap ihsan (baik) terhadap
segala sesuatu. Apabila kamu hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara
yang paling baik. Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka
sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat
sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa.”
(Hadis Riwayat Muslim, 10/122, no. 3615)
Maksud,
“... hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa.” adalah
dengan menajamkan pisau dan mempercepatkan pergerakan pisau ketika
menyembelihnya. (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 13/106)
Pisau (alat menyembelih) hendaklah ditajamkan lebih awal sebagaimana kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
أتريد أن تُمِيتَها موتاتٍ هَلاَّ حَدَدْتَ شَفْرَتك قبل أن تُضْجِعَها
“Adakah
kamu mahu membunuhnya dua kali? Tajamkanlah pisau terlebih dahulu
sebelum kamu membaringkannya.” (Hadis Riwayat al-Hakim, 4/257, no. 7563.
Dinilai sahih oleh adz-Dzahabi)
Di antara hikmahnya adalah supaya haiwan tidak dibiarkan berada dalam keadaan tertunggu-tunggu, ketakutan, dan tidak selesa.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang membunuh haiwan tanpa sebab yang wajar. Beliau bersabda:
مَا
مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا
إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ
وَمَا حَقُّهَا قَالَ يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا
يَرْمِي بِهَا
“Sesiapa
dari kalangan manusia yang membunuh seekor burung atau yang selain
darinya tanpa haknya, maka Allah akan meminta dia bertanggungjawab kelak
di akhirat.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa haknya?”
Rasulullah menjawab, “Disembelih lalu dimakan, dan janganlah seseorang
memotong kepalanya (membunuhnya) lalu dibuang.” (Hadis Riwayat
an-Nasaa’i, 13/312, no. 4274. Dinilai dhaif oleh al-Albani)
Selain
itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihiwa Sallam juga melarang memukul muka
haiwan, melarang mencaci haiwan, berlaku kasar, menyakitinya, serta
melarang melaknat atau mengejek haiwan. Ini disebutkan dalam hadis-hadis
yang lain.
Dalil-dalil yang
dibentangkan ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang sangat
menganjurkan sikap ihsan bukan sahaja kepada sesama manusia, tetapi juga
terhadap para haiwan. Bukan sahaja ketika haiwan tersebut hidup, tetapi
juga ketika hendak menyembelih atau setelah membunuhnya.
[Kedua] Haiwan Yang Boleh Disembelih
Haiwan
yang boleh disembelih adalah dari jenis haiwan darat yang mengalirkan
darahnya dan halal dimakan. Ini adalah seperti unta, lembu, kambing,
kijang, ayam, itik, dan angsa.
Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan:
قال بعض العلماء والحكمة فى اشتراط الذبح وانهار الدم تميز حلال اللحم والشحم من حرامهما وتنبيه على أن تحريم الميتة لبقاء دمها
“Sebahagian
ulama menyatakan bahawa hikmah pada syarat sembelihan (adz-Dzabh) dan
mengalirkan darah (an-nahr) adalah bagi membezakan di antara kehalalan
daging dan lemak dari yang mengharamkannya. Perlu diperhatikan bahawa
bangkai diharamkan (antaranya) kerana ia tidak mengalirkan
(mengeluarkan) darah di dalam tubuhnya.” (an-Nawawi, Syarah Shahih
Muslim, 13/123)
Adapun
haiwan darat dari jenis yang mengalir darahnya yang tidak halal dimakan
berdasarkan dalil-dalil yang telah ditentukan, maka ia adalah haram
walaupun setelah disembelih, dan matinya tetap dihukumkan sebagai
bangkai.
Manakala
haiwan yang tidak memiliki darah yang mengalir atau tidak boleh
disembelih (kerana tidak memiliki leher), jika ia mati maka matinya
dianggap sebagai bangkai. Kecuali bangkai setiap jenis haiwan air dan
bangkai belalang, ia halal dimakan walaupun tanpa melalui proses
sembelihan.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
أُحِلَّتْ
لَنَا مَيْتَتَانِ، وَدَمَانِ. فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ: فَالْحُوتُ
وَالْجَرَادُ، وَأَمَّا الدَّمَانِ: فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ
“Dihalalkan
bagi kita dua bangkai dan dua jenis darah. Dua bangkai tersebut adalah
bangkai ikan dan belalang, manakala dua darah tersebut adalah hati dan
limpa.” (Hadis Riwayat Ahmad, 10/16, no. 5723. Dinilai sahih oleh
al-Albani dan hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)
Juga sebagaimana sabda beliau yang lain:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ الْحِلُّ مَيْتَتُهُ
“Laut
itu suci airnya dan halal bangkainya.” (Hadis Riwayat Malik, Abu Daud,
at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, dan Ibnu Majah. Hasan sahih sebagaimana kata
at-Tirmidzi)
[Ketiga] Menghadapkan Haiwan Sembelihan Ke Arah Kiblat
Disunnahkan agar haiwan dihadapkan ke arah kiblat ketika menyembelihnya.
Nafi’ mengatakan:
أن بن عمر كان يكره أن يأكل ذبيحة ذبحه لغير القبلة
“Bahawasanya
Ibnu ‘Umar tidak suka makan daging haiwan yang tidak menghadap kiblat
ketika disembelih.” (al-Mushannaf ‘Abdurrazzaq, 4/489, no. 8585)
Demikian juga dengan Ibnu Sirin, beliau mengatakan:
كان يستحب أن توجه الذبيحة إلى القبلة
“Dianjurkan supaya menghadapkan haiwan ketika disembelih ke arah kiblat.” (al-Mushannaf ‘Abdurrazzaq, 4/489, no. 8587)
Ini
adalah sebagaimana perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
ketika menyembelih unta hadyu di Mina. Beliau hadapkan unta-unta yang
hendak disembelih ke arah kiblat. Riwayat ini diriwayatkan oleh Imam
Malik dalam al-Muwaththa’, 3/554-555, no. 1405. Dinilai sahih oleh
‘Abdul Qadir al-Arnauth dalam Tahqiq Jami’ al-Ushul, 3/342)
[Keempat] Membaringkan Haiwan (yang berupa kambing atau sejenisnya)
Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah memerintahkan supaya dibawakan dua
ekor kibas kepadanya untuk dikorbankan sebagaimana hadis daripada
‘Aisyah radhiyallahu ‘anha.
“Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata (kepada ‘Aisyah), “Wahai ‘Aisyah, bawakanlah pisau ke sini.”
Kemudian
beliau bersabda, “Asahlah pisau ini dengan batu (pengasah).” ‘Aisyah
pun melakukan apa yang di perintahkan beliau. Setelah diasah, beliau
mengambilnya dan mengambil kibas tersebut lalu membaringkannya dan
menyembelihnya...” (Hadis Riwayat Muslim, 10/149, no. 3637)
Kata Imam ash-Shan’ani rahimahullah:
فيه
دليل على أنه يستحب إضجاع الغنم ولا تذبح قائمة ولا باركة لأنه أرفق بها
وعليه أجمع المسلمون ويكون الإضجاع على جانبها الأيسر لأنه أيسر للذابح في
أخذ السكين باليمنى وإمساك رأسها باليسار
“Ini
adalah dalil yang menjelaskan anjuran merebahkan haiwan yang hendak
disembelih (dari jenis kambing), dan ia tidak disembelih dalam keadaan
berdiri atau duduk. Kerana keadaan tersebut lebih mudah baginya dan ini
adalah ijma’ (kesepakatan) al-muslimun. Ia dilakukan dengan merebahkan
haiwan di atas sisi kirinya di mana ia lebih memudahkan orang yang
menyembelih sambil memegang pisau di tangan kanan dan memegang kepala
haiwan dengan tangan kirinya.” (ash-Shan’ani, Subulus Sulam, 4/162 –
Maktabah at-Taufiqiyah)
Dalam hadis daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, ia menjelaskan posisi perletakan kaki kanan ketika menyembelih. Kata Anas:
ضَحَّى
النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ
فَرَأَيْتُهُ وَاضِعًا قَدَمَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا يُسَمِّي وَيُكَبِّرُ
فَذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ
“Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkorban dengan dua ekor kibas yang
warna putihnya lebih banyak dari warna hitam. Aku melihat beliau
meletakkan kaki beliau di atas rusuk kibas tersebut sambil menyebut nama
Allah dan bertakbir, lalu beliau menyembelih kedua-duanya dengan tangan
beliau sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 17/255, Bab: Menyembelih
Haiwan Korban Dengan Tangannya, no. 5132)
Manakala
bagi unta, ianya disembelih dalam keadaan berdiri di atas tiga kakinya
dan kakinya yang kiri bahagian hadapan diikat dengan tali. (Abu Malik
Kamal, Shahih Fiqhus Sunnah, 2/364 – Maktabah at-Taufiqiyah)
[Kelima] Menyembelih Dengan Alat yang Tajam Selain Kuku, Tulang, Gading, dan Gigi
Sebagaimana
telah disebutkan dalam hadis-hadis sebelumnya, disunnahkan supaya
menyembelih haiwan menggunakan pisau atau alat penyembelih yang tajam.
Kemudian Rasulullah mengecualikannya dengan gigi dan tulang.
Ketika
seorang sahabat membunuh seekor unta yang bertindak liar dengan tikaman
(lemparan) tombak, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا
أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ فَكُلُوهُ لَيْسَ
السِّنَّ وَالظُّفُرَ وَسَأُحَدِّثُكُمْ عَنْ ذَلِكَ أَمَّا السِّنُّ
فَعَظْمٌ وَأَمَّا الظُّفُرُ فَمُدَى الْحَبَشَةِ
“Setiap
apa yang ditumpahkan darahnya dengan disebut nama Allah maka makanlah
kecuali yang ditumpahkan darahnya dengan gigi dan kuku, dan akan
kusampaikan tentang itu. Adapun gigi, ia termasuk tulang. Manakala kuku,
ia adalah pisaunya orang-orang Habasyah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari,
8/391, no. 2308)
Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
وفى هذا الحديث تصريح بجواز الذبح بكل محدد يقطع إلا الظفر والسن وسائر العظام
“Hadis
ini menjelaskan tentang dibolehkan menyembelih haiwan dengan apa jua
alat yang tajam selagi mana boleh untuk memotong selain kuku, gigi dan
segala jenis tulang.” (Syarah Shahih Muslim, 13/123)
[Keenam] Teknik Sembelihan (at-Tadzkiyah)
At-Tadzkiyah menurut bahasa adalah mashdar dari dzakaitu al-hayawan (aku menyembelih haiwan). Dan isim (bentuk kata benda)nya adalah dzakah, iaitu adz-Dzabh dan an-Nahr.
Menurut istilah, ia adalah faktor yang menyebabkan dihalalkan memakan haiwan darat.
Para ulama menjelaskan bahawa an-Nahr (menusuk pada bahagian leher) adalah teknik sembelihan khusus bagi unta, dan adz-Dzabh (sembelihan dengan cara memotong di leher) adalah bagi haiwan selain unta.
Mazhab
Abu Hanifah mengatakan, “Penyembelihan adalah suatu kaedah yang syar’i
untuk menjaga kesucian haiwan agar halal untuk dimakan sekiranya ia
halal dimakan. Atau bagi tujuan memanfaatkan kulit dan bulunya jika
haiwan tersebut tidak halal dimakan.” (Shahih Fiqhus Sunnah, 2/357 –
Maktabah at-Taufiqiyah)
Mazhab
al-Hanabilah (pengikut Ahmad B. Hanbal) mendefinisikannya sebagai,
“Dzabh (memotong) atau Nahr (menusuk) adalah kaedah penyembelihan untuk
haiwan darat yang berada dalam kawalan (yang mampu ditangkap) selain
belalang atau yang sejenisnya dengan memotong saluran halkum
(trakea/salur pernafasan) dan mari’ (esofagus/salur makanan), atau
dengan cara menusuk bagi haiwan yang kuat meronta atau terhalang dari
menyembelihnya (sebagaimana membunuh haiwan buruan – Pen.).” (Shahih
Fiqhus Sunnah, 2/357 – Maktabah at-Taufiqiyah)
Kaedah
membunuh haiwan buruan yang liar yang tidak dapat ditangkap adalah
dengan cara melemparkan (iaitu menusukkan) pada mana-mana bahagian
tubuhnya dengan senjata tajam atau dengan menggunakan khidmat haiwan
pemburu yang terlatih.
Adapun
berkenaan syarat sembelihan atau bahagian yang perlu diputuskan atau
dipotong, Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan:
الشافعى
وأصحابه وموافقوهم لاتحصل الذكاة إلابقطع الحلقوم والمرئ بكمالهما ويستحب
قطع الودجين ولايشترط وهذا أصح الروايتين عن أحمد وقال بن المنذر أجمع
العلماء على أنه اذا قطع الحلقوم والمرئ والودجين وأسال الدم حصلت الذكاة
قال واختلفوا فى قطع بعض هذا
“Imam
asy-Syafi’i, para sahabatnya, dan orang-orang yang bersetuju dengannya
mengatakan, “Tidak sah suatu sembelihan melainkan setelah terpotong pada
halkum (salur pernafasan) dan mari’ (salur makanan/esofagus) secara
sempurna. Dan disunnahkan memotong dua urat darahnya yang lain (yang
terdapat di sekitar leher), tetapi ini tidaklah termasuk syarat. Dan ini
juga adalah pendapat yang kuat dari Imam Ahmad berdasarkan dua riwayat.
Ibnu
al-Mundzir berkata, “Para ulama telah sepakat (ijma’) bahawa apabila
telah terpotong halkum (salur pernafasan), salur makanannya (esofafus),
dan kedua urat darah pada leher haiwan sembelihan, serta mengalirkan
darahnya, maka ini sudah dianggap sebagai sembelihan yang benar dan
sah.” Al-Mundzir melanjutkan, “Dan mereka (para ulama) berselisih
apabila yang terpotong hanya sebahagian dari apa yang disebutkan ini.”
(an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 13/124)
Berkaitan haiwan liar atau haiwan yang yang asalnya jinak tetapi kemudian menjadi liar, Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan:
وأما
المتوحش كالصيد فجميع أجزائه يذبح مادام متوحشا فإذا رماه بسهم أو أرسل
عليه جارحة فأصاب شيئا منه ومات به حل بالاجماع وأما اذا توحش انسى بأن ند
بعير أو بقرة أو فرس أوشردت شاة أو غيرها فهو كالصيد فيحل بالرمى إلى غير
مذبحه وبإرسال الكلب وغيره من الجوارح عليه
“Adapun
bagi haiwan liar yang termasuk haiwan buruan, maka seluruh anggotanya
boleh dijadikan sebagai sasaran sembelihan selagi mana ia liar dan tidak
dapat ditangkap (untuk disembelih secara normal) sehingga apabila
dilempar dengan tusukan panah atau ditangkap oleh anjing pemburu yang
terlatih kemudian mengenai sebahagian dari anggota badannya dan mati,
maka hukumnya adalah halal dengan ijma’ (kesepakatan ulama).
Adapun
jika haiwan jinak yang bertukar liar (mengganas) seperti unta yang
terlepas (atau mengamuk - pen.), atau lembu, atau kuda, atau mungkin
kambing dan selainnya, maka ia dianggap sebagaimana haiwan buruan yang
mana ia boleh dilempar dengan panah (objek tajam) di selain tempat
sembelihannya yang asal dan boleh juga ditangkap menggunakan khidmat
anjing pemburu yang terlatih.” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 13/126)
Ini adalah sebagaimana dalil hadis daripada ‘Abayah B. Rifa’ah B. Rafi’ B. Khadij yang menjelaskan daripada datuknya:
كُنَّا
مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذِي الْحُلَيْفَةِ
فَأَصَابَ النَّاسَ جُوعٌ فَأَصَابُوا إِبِلًا وَغَنَمًا قَالَ وَكَانَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أُخْرَيَاتِ الْقَوْمِ
فَعَجِلُوا وَذَبَحُوا وَنَصَبُوا الْقُدُورَ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْقُدُورِ فَأُكْفِئَتْ ثُمَّ قَسَمَ
فَعَدَلَ عَشَرَةً مِنْ الْغَنَمِ بِبَعِيرٍ فَنَدَّ مِنْهَا بَعِيرٌ
فَطَلَبُوهُ فَأَعْيَاهُمْ وَكَانَ فِي الْقَوْمِ خَيْلٌ يَسِيرَةٌ
فَأَهْوَى رَجُلٌ مِنْهُمْ بِسَهْمٍ فَحَبَسَهُ اللَّهُ ثُمَّ قَالَ إِنَّ
لِهَذِهِ الْبَهَائِمِ أَوَابِدَ كَأَوَابِدِ الْوَحْشِ فَمَا غَلَبَكُمْ
مِنْهَا فَاصْنَعُوا بِهِ هَكَذَا فَقَالَ جَدِّي إِنَّا نَرْجُو أَوْ
نَخَافُ الْعَدُوَّ غَدًا وَلَيْسَتْ مَعَنَا مُدًى أَفَنَذْبَحُ
بِالْقَصَبِ قَالَ مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ
فَكُلُوهُ لَيْسَ السِّنَّ وَالظُّفُرَ وَسَأُحَدِّثُكُمْ عَنْ ذَلِكَ
أَمَّا السِّنُّ فَعَظْمٌ وَأَمَّا الظُّفُرُ فَمُدَى الْحَبَشَةِ
“Kami
bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di Dzul Hulaifah ketika
sebahagian orang mengalami kelaparan lalu mereka mengambil (harta
rampasan perang berupa) unta dan kambing. Ketika itu Nabi Shallallahu
‘alaihi wa Sallam berada di belakang bersama rombongan yang lain.
Orang-orang yang kelaparan tersebut menyembelih lalu mengambil daging
sebanyak satu kuali.
Maka
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan agar kuali tersebut
ditumpahkan isinya. Kemudian Beliau membahagi sama-rata di mana bahagian
setiap sepuluh ekor kambing sama dengan satu ekor unta. Tetapi kemudian
ada seekor unta yang lari lalu mereka mencarinya sampai kepenatan.
Sementara itu di antara mereka ada yang memiliki seekor kuda yang lincah
lalu ia pun mencari unta yang terlepas tadi dan memburunya dengan panah
hingga akhirnya Allah mentakdirkannya dapat membunuh unta tersebut.
Beliau
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya haiwan seperti
ini hukumnya sama dengan haiwan liar (haiwan buruan). Maka apa sahaja
yang terlepas dari kamu (dan gagal untuk ditangkap), lakukanlah seperti
ini.”
Datukku
berkata, “Kita berharap atau bimbang bertemu musuh pada esok hari
sedangkan kita tidak memiliki pisau, adakah kita boleh menyembelih
dengan kayu?”
Beliau
bersabda, “Setiap apa yang ditumpahkan darahnya dengan disebut nama
Allah maka makanlah kecuali yang ditumpahkan darahnya dengan gigi dan
kuku, dan akan kusampaikan tentang itu. Adapun gigi, ia termasuk tulang.
Manakala kuku, ia adalah pisaunya orang-orang Habasyah.” (Hadis Riwayat
al-Bukhari, 8/391, no. 2308)
Haiwan
buruan yang mati hendaklah ia mati dengan sebab terkena tusukan pada
bahagian alat yang tajam yang mengalirkan darah sama ada dengan mata
lembing, panah, atau alat-alat yang seumpamanya yang tajam. Dan bukan
pada bahagian yang tumpul seperti misalnya pada bahagian hulu lembing
atau juga tidak boleh dibaling dengan bahan tumpul seperti batu yang
seumpamanya.
Melainkan
sekiranya ia sempat disembelih sebelum mati, maka halal. Jika mati
kerana dilempar dengan objek tumpul, maka haram dimakan.
Ini
sebagaimana hadis ‘Adi B. Hatim radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata, “Aku
bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang
berburu dengan lembing (tombak), maka beliau bersabda:
إِذَا أَصَبْتَ بِحَدِّهِ فَكُلْ فَإِذَا أَصَابَ بِعَرْضِهِ فَقَتَلَ فَإِنَّهُ وَقِيذٌ
“Apabila
ia terkena pada bahagian yang tajam, maka makanlah. Tetapi apabila
terkena pada bahagian yang tumpul lalu haiwan buruan tersebut terbunuh,
maka janganlah memakannya kerana ia termasuk haiwan yang terbunuh kerana
dibaling dengan objek tumpul.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 17/131, no.
5054)
[Ketujuh] Dibenci (makruh) Menyembelih Haiwan Hingga Terputus Lehernya
Ini
adalah berdasarkan penjelasan dari kalangan sahabat dan ulama dari
kalangan Tabi’in. Mereka membenci perbuatan tersebut dan sebahagiannya
enggan untuk memakannya.
Nafi’ mengatakan:
أن بن عمر كان لا يأكل الشاة إذا نخعت
“Sesungguhnya
Ibnu ‘Umar enggan memakan daging kambing yang disembelih sehingga
lehernya terputus.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, 4/490, no. 8591)
Atha’ (ulama Tabi’in) berkata:
إن ذبح ذابح فأبان الرأس فكل ما لم يتعمد ذلك
“Jika
ada orang yang menyembelih haiwan sehingga kepala terpisah dari
tubuhnya maka kamu makanlah asalkan orang tersebut melakukannya tanpa
sengaja.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, 4/491, no. 8599)
Thawus berkata:
لو أن رجلا ذبح جديا فقطع رأسه لم يكن بأكله بأس
“Jika
ada orang yang menyembelih haiwan sehingga lehernya putus maka daging
haiwan tersebut tetap boleh dimakan.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, 4/491,
no. 8601)
Ma’mar mengatakan:
سئل الزهري عن رجل ذبح بسيفه فقطع الرأس قال بئس ما فعل فقال الرجل فيأكلها قال نعم
“Ketika
Imam az-Zuhri (ulama dari kalangan Tabi’in) ditanya tentang seseorang
yang menyembelih dengan menggunakan pedang sehingga leher haiwan yang
disembelih putus. Jawab beliau, “Buruk sungguh perbuatan tersebut.”
Beliau ditanya lagi, “Adakah dagingnya boleh dimakan?” az-Zuhri
menjawab, “Boleh.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, 4/492, no. 8600)
[Kelapan] Menyebut Nama Allah Ketika Menyembelih
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلا
تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ
لَفِسْقٌ وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ
لِيُجَادِلُوكُمْ
“Dan
janganlah kamu memakan haiwan-haiwan yang tidak disebut nama Allah
ketika menyembelihnya, sesungguhnya perbuatan tersebut adalah suatu
kefasikan.” (al-An’am, 6: 121)
Kata
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Setiap apa yang ditumpahkan
darahnya dengan disebut nama Allah maka makanlah...” (Hadis Riwayat
al-Bukhari, 8/391, no. 2308)
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyatakan:
استدل بهذه الآية الكريمة من ذهب إلى أنه لا تحل الذبيحة التي لم يذكر اسم الله عليها، ولو كان الذابح مسلما
“Ayat
ini adalah dalil bahawa sembelihan tidak halal sekiranya tidak disebut
nama Allah ketika menyembelihnya walaupun yang menyembelihnya adalah
seorang muslim.” (Tafsir Ibnu Katsir, 3/324)
Kata Ibnu ‘Abbas, “(Tetapi sekiranya dia terlupa), maka tidak mengapa.” (Fathul Bari, 9/624)
Manakala
ketika menyembelih haiwan korban, disunnahkan membaca basmalah dan
takbir sambil berdoa memohon agar korbannya diterima Allah. Bagi haiwan
buruan pula, nama Allah hendaklah disebut ketika melepaskan haiwan
pemburu atau ketika melemparkan senjata tajam ke arah sasaran.
Ini adalah sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
وَمَا
صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ وَمَا صِدْتَ
بِكَلْبِكَ الْمُعَلَّمِ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ وَمَا صِدْتَ
بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ
“Buruan
yang kamu perolehi dengan tombakmu setelah menyebut nama Allah maka
makanlah, buruan yang diperolehi oleh anjingmu yang terlatih setelah
menyebut nama Allah di ketika melepaskannya maka makanlah, dan buruan
yang diperolehi oleh anjingmu yang tidak terlatih jika kamu sempat
menyembelihnya maka makanlah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 17/135, no.
5056)
[Kesembilan] Memastikan Haiwan Benar-benar Mati
Haiwan
yang disembelih hendaklah dipastikan telah benar-benar mati terlebih
dahulu sebelum dilakukan proses seterusnya. Dan kematiannya hendaklah
dilakukan dengan semata-mata sembelihan tanpa sebarang tekanan atau
paksaan.
Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala:
وَالْبُدْنَ
جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ
فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا
فَكُلُوا مِنْهَا
“Dan
telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syi'ar
Allah, kamu mendapat kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah nama
Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah
terikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah darinya...”
(Surah al-Hajj, 22: 36)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا قُطِعَ مِنَ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ، فَهُوَ مَيْتَةٌ
“Apa-apa
bahagian yang dipotong dari haiwan yang masih hidup, maka potongan
tersebut adalah bangkai.” (Hadis Riwayat Ahmad, 36/233, no. 21903.
36/235, no. 21904. Dinilai hasan oleh at-Tirmidzi dan Syu’aib
al-Arnauth)
Ibnu
Katsir menyatakan dalam Tafsirnya, “Janganlah kamu mengambil daging
unta setelah disembelih melainkan setelah benar-benar mati dan tidak
bergerak lagi. Disebutkan dalam hadis marfu’:
ولا تُعجِلُوا النفوسَ أن تَزْهَق
“Jangan dipaksa-paksa ruh haiwan sembelihan agar segera keluar.”.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/428)
[Kesepuluh] Sembelihan Ahli Kitab
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ
“Pada
hari ini dihalalkan bagi kamu yang baik-baik. Makanan orang-orang yang
diberi al-Kitab itu halal bagi kamu, dan makanan kamu juga halal bagi
mereka.” (Surah al-Ma’idah, 5: 5)
Makanan
ahli kitab yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah sembelihan ahli
kitab. Ini adalah suatu yang telah disepakati oleh para ulama bahawa
sembelihan mereka halal bagi umat Islam. (Tafsir Ibnu Katsir, 3/40)
Secara
umumnya, apa jua makanan berupa hasil sembelihan ahli kitab, ia adalah
halal bagi umat Islam melainkan padanya jelas tanpa terselindung adalah
makanan yang diharamkan bagi umat Islam untuk memakannya, atau
mengandungi unsur-unsur terlarang seperti bercampur dengan khamr (arak),
babi, atau padanya disebut nama selain nama Allah ketika menyembelih.
Adapun apa yang tidak diketahui di sebalik itu, maka cukuplah maklumat
secara umum dan tidak dibebankan ke atas kita untuk menyemak atau
mempersoalkannya secara mendalam terlebih dahulu sebelum memakannya.
Demikian
juga dengan hasil sembelihan yang datang dari umat Islam, maka kita
menerimanya tanpa terlebih dahulu mempertikai, mempersoal, atau
menyemaknya secara terperinci. Melainkan padanya secara jelas memiliki
unsur-unsur yang haram lagi meragukan.
Ahli
Kitab di sini merujuk kepada Yahudi dan Nashara secara umum tanpa
membezakan Ahli Kitab di zaman Nabi atau di zaman sekarang, ataupun yang
akan datang. Sama ada yang kuat berpegang kepada ajarannya yang asal
atau yang telah diubah-suai. Kerana Ahli Kitab di zaman Nabi sendiri
memang turut dikenali sebagai termasuk orang-orang yang mengubah-suai
Kitab yang diturunkan kepada mereka.
Apabila
diberi daging hasil sembelihan, dari mana-mana kalangan umat Islam atau
Ahli Kitab, maka makanlah tanpa ragu-ragu dan mulakannya dengan membaca
basmallah.
Ini
adalah sebagaimana keterangan yang dapat diambil dari hadis ‘Aisyah
radiyallahu ‘anha ketika bertanya perkara berkaitan. ‘Aisyah bertanya:
يَا
رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَا هُنَا أَقْوَامًا حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِشِرْكٍ
يَأْتُونَا بِلُحْمَانٍ لَا نَدْرِي يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا
أَمْ لَا قَالَ اذْكُرُوا أَنْتُمْ اسْمَ اللَّهِ وَكُلُوا
“Wahai
Rasulullah, di sini ada beberapa kaum yang baru saja meninggalkan
kesyirikan (baru masuk Islam), mereka biasa membawakan daging untuk kami
yang kami tidak tahu sama ada mereka menyembelihnya dengan menyebut
nama Allah atau pun tidak?” Nabi menjawab, “Kamu sebutlah nama Allah,
dan makanlah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/400, no. 6849)
Dalam
sebuah riwayat menyebutkan ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam bersama-sama para sahabatnya dihadiahkan seekor kambing bakar
oleh seorang wanita Yahudi, beliau pun memakannya tanpa was-was atau
memperincikannya terlebih dahulu kedudukan daging tersebut walaupun pada
daging tersebut rupa-rupanya mengandungi racun. (Rujuk Tafsir Ibnu
Katsir, 3/40)
Riwayat
atau kisah ini menjadi dalil bahawa tidak disunnahkan untuk terlalu
memperincikan pemberian ahli kitab yang berupa hasil sembelihannya
sebelum memakannya.
[Kesebelas] Haram Menyembelih Untuk Selain Allah
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
حُرِّمَتْ
عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ
لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ
وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلا مَا
ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
“Diharamkan
bagi kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang
disembelih atas nama selain Allah, yang mati tercekik, yang mati
dipukul, yang mati terjatuh, yang mati ditanduk, dan yang mati diterkam
binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya. Dan (diharamkan
bagi kamu) haiwan yang disembelih untuk berhala.” (Surah al-Ma’idah, 5:
3)
Haiwan
yang disembelih yang padanya disebut dengan nama selain nama Allah,
atau bagi tujuan pemujaan dan penyembahan, maka hukumnya adalah haram
dimakan secara ijma’.
[Kedua Belas] Penyembelihan Janin Dalam Perut Induk
Apabila
seekor haiwan yang disembelih dan dalam kandungannya terdapat janin
yang mati, maka janin tersebut halal dimakan berdasarkan pendapat ulama
yang paling sahih. Kerana ia secara hakikinya telah tersembelih
bersama-sama dengan penyembelihan ibunya. Ini adalah pendapat jumhur
kecuali Abu Hanifah.
Adapun
bagi janin yang keluar dalam keadaan hidup dengan hayat mustaqirah,
maka tidak halal dimakan melainkan dengan disembelih terlebih dahulu.
(Abu Malik Kamal, Shahih Fiqhus Sunnah, 2/365-366 – Maktabah
at-Taufiqiyah)
Pendapat ini didukung oleh hadis Abu Sa’id, beliau berkata:
سَأَلْتُ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْجَنِينِ
فَقَالَ كُلُوهُ إِنْ شِئْتُمْ وَقَالَ مُسَدَّدٌ قُلْنَا يَا رَسُولَ
اللَّهِ نَنْحَرُ النَّاقَةَ وَنَذْبَحُ الْبَقَرَةَ وَالشَّاةَ فَنَجِدُ
فِي بَطْنِهَا الْجَنِينَ أَنُلْقِيهِ أَمْ نَأْكُلُهُ قَالَ كُلُوهُ إِنْ
شِئْتُمْ فَإِنَّ ذَكَاتَهُ ذَكَاةُ أُمِّهِ
“Aku
bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang janin.
Maka beliau berkata, “Makanlah jika kamu suka.” Musaddad berkata, kami
katakan, “Wahai Rasulullah, kami menyembelih unta, lembu, dan kambing,
kemudian kami dapati janin di dalam perutnya. Adakah kami perlu
membuangnya atau kami boleh memakannya?” Beliau berkata, “Makanlah jika
kamu mahu, kerana penyembelihannya adalah dengan menyembelih ibunya.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, 8/3, no. 2444. Dinilai sahih oleh al-Albani)
[Ketiga Belas] Ringkasan Syarat-syarat Umum Penyembelihan
1. Haiwan yang disembelih hendaklah masih hidup ketika sembelihan dilaksanakan.
2. Matinya haiwan adalah dengan secara normal (natural) hasil sembelihan.
3. Haiwan tersebut bukan termasuk haiwan buruan di tanah haram.
4.
Orang yang menyembelihnya hendaklah berakal (tidak gila atau mabuk)
sama ada lelaki ataupun wanita, sama ada baligh atau pun belum, iaitu
yang telah tamyiz (tahu membezakan di antara yang baik dengan yang
buruk).
5. Menyebut nama Allah ketika menyembelih. Dan dimaafkan sekiranya terlupa.
6. Penyembelih hendaklah dari kalangan Muslim atau Ahli Kitab.
7.
Bukan dalam keadaan ihram. Mereka yang menyembelih dalam keadaan sedang
berihram, maka hasilnya adalah bangkai. Dan syarat ini adalah bagi
sembelihan haiwan buruan. Adapun bagi haiwan yang jinak, tidak mengapa
disembelih oleh orang-orang yang berihram.
8. Bukan disembelih untuk tujuan pemujaan, penyembahan, dan yang padanya disebut selain dari nama Allah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar